Program Satu Irama, Dua Budaya | 21 November 2025
Program Satu Irama, Dua Budaya merupakan sebuah inisiatif pertukaran budaya antarabangsa yang dianjurkan oleh Information Content Society (iCONS), Pusat Pengajian Sains Maklumat, Fakulti Sains Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana. Program ini telah dilaksanakan di Dewan Serbaguna, dengan penglibatan pelajar UiTM dan pelajar antarabangsa dari Universitas Airlangga, Indonesia.
Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar Malaysia dan Indonesia melalui pendekatan pertukaran budaya yang interaktif dan santai, di samping meningkatkan kefahaman serta penghargaan terhadap persamaan dan keunikan budaya dua negara serumpun. Pelbagai aktiviti berteraskan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) telah dijalankan, antaranya Mini Cultural Exchange Corner, Traditional Game Challenge, Short Performance Exchange dan Cultural Reflection Wall, yang memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi tradisi, bahasa dan nilai budaya masing-masing.
Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja menyokong usaha pengantarabangsaan fakulti dan pembangunan kemahiran insaniah pelajar, malah turut memupuk nilai toleransi, kerjasama dan perpaduan serantau dalam kalangan generasi muda. Inisiatif ini selari dengan aspirasi Fakulti Sains Maklumat dalam melahirkan graduan berfikiran global serta berkeupayaan berinteraksi dalam persekitaran masyarakat berbilang budaya.

