KUALA LUMPUR: Prof Dr Mohd Sazili Shahibi, 51, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi Korporat UITM, Nora Nordin, berkata pelantikan itu bagi menggantikan Prof Dr Azizan Abdullah.
Beliau berkata, Mohd Sazili mempunyai kepakaran dalam bidang sistem, teknologi maklumat dan e-dagang, malah berkhidmat di UiTM selama hampir 20 tahun di pelbagai peringkat pengurusan, akademik serta kepemimpinan pelajar.
Sehubungan itu, Nora berkata, UiTM mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas keputusan pelantikan berkenaan.
"Sebagai Timbalan Naib Canselor HEP yang baharu, Mohd Sazili diharap terus menyerlahkan kualiti dan kecemerlangan pengurusan pelajar sejajar hasrat serta matlamat pelan strategik UiTM2025 untuk menjadi universiti terkemuka dunia.
"Mohd Sazili juga ialah penerima Anugerah Kepemimpinan Pendidikan Asia oleh Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) Asia dan Kongres Pendidikan Dunia pada 2018, sebagai pengiktirafan terhadap kualiti dan kecemerlangan kepemimpinan beliau dalam mengendali serta menangani isu pendidikan.
"Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah Pengarah Institut Pemikiran Dan Kepimpinan Melayu UiTM (IMPAK), Ahli Lembaga Penasihat Arkib Negara Malaysia, Panel Penasihat Polisi Institut Wasatiyah Malaysia Jabatan Perdana Menteri, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka dan Dekan Fakulti Pengajian Maklumat, UiTM," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nora berkata Timbalan Naib Canselor HEP baharu universiti berkenaan kini turut aktif sebagai Pengerusi Ikatan Teras Minda Malaysia (ITEM) dan penggerak penting yang berperanan dalam meningkatkan pembabitan pelajar dalam kepimpinan persatuan serta aktiviti kemasyarakatan.
Selari pengumuman pelantikan itu, beliau berkata, UiTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Azizan atas segala khidmat bakti dan kepemimpinan sepanjang tempoh menyandang jawatan berkenaan.
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2021/06/827732/prof-dr-mohd-sazili-tnc-hepa-uitm-baharu